Pages

Tuesday 22 November 2011

Kisah seorang budak yang menentang para pengganas.

     Di sini saya ingin berkongsi sebuah cerita mengenai seorang budak yang berani menentang pengganas-pengganas seorang diri. Kisah ini saya ambil dari sebuah buku yang bertajuk Himpunan kitab-kitab Fadhail Amal. Semoga kita bersama-sama dapat mencontohi sikap berani beliau dalam menegakkan keadilan.  


     

      Pada suatu ketika, sewaktu unta-unta Nabi Muhammad S.A.W dibawa ke Ghabah iaitu sebuah perkampungan kecil terletak empat atau lima batu dari Madinah untuk diberi makan, Rahman Fazari dengan bantuan beberapa orang lain yang tidak mempercayai Islam telah menyerang dan membunuh penjaga unta-unta tersebut dan unta-unta itu dibawa pergi bersama-sama mereka. Salmah Bin Akwah(r.a) secara kebetulan sedang berjalan berhampiran tempat kejadian itu dengan busur dan anak panahnya melihat akan pengganas-pengganas yang semuanya menunggang kuda dan bersenjata.
      Salmah adalah seorang budak yang sangat pantas berlari dan juga seorang pemanah yang cekap.Adalah dikatakan beliau dapat mangalahkan kuda yang paling pantas sekali dalam satu perlumbaan.
      Sebaik sahaja beliau melihat pengganas-pengganas itu, dia segera berlari menaiki sebuah bukit yg berhampiran lalu meneriak ke arah kota Madinah untuk memberi isyarat kecemasan kepada penduduk-penduduk di situ. Kemudian beliau seorang diri mengejar pengganas-pengganas itu. Apabila menghampiri mereka, beliau mula memanah satu demi satu berturut-turut dengan pantas sekali sehingga pengganas-pengganas itu menyangkakan bahawa mereka dikejar oleh bilangan orang yang ramai. Sekiranya salah seorang daripada pengganas-pengganas itu menoleh ke belakang, Salmah akan segera lari bersembunyi sambil terus memanah kepada kuda-kuda pengganas agar melukakannya. Lantaran itu pengganas-pengganas itu terus berundur dengan memacu kuda masing-masing selaju boleh.

     Salmah r.a berkata:
"Aku terus mengejar pengganas-pengganas itu sehinggakan semua unta-unta yang dirampas itu ditinggalkan mereka dibelakang aku. Di samping itu, disebabkan ketakutan yang amat sangat mereka telah meninggalkan 30 bilah lembing dan 30 helai kepunyaan mereka sendiri. SSementara itu, Aimiah bin Hisn(seorang pengganas yang lain) dan gerombolannya telah tiba di tempat itu untuk membantu pengganas-pengganas itu. Apabila mereka telah mengetahui bahawa aku hanya berseorangan, mereka telah bersatu serta membuat kumpulan yang lebih besar lalu mengejar aku. Ini menyebabkan aku terpaksa berlari ke atas sebuah bukit. Sementara mereka menghampiri aku, aku berteriak kepada mereka. 'Berhenti! Dengarlah kata-kataku ini terlebih dahulu. Adakah kamu tahu siapa aku ini? Aku ialah Ibnu Lakwah. Dengan nama Allah yang telah menganugerahkan kemuliaan kepada Muhammad(S.A.W) tiada seorang pun daripada kamu yang dapat mengejar aku sehingga tertangkap. Sebaliknya, sekiranya aku mengejar salah seorang daripada kamu pasti ia akan tidak akan berjaya melepaskan dirinya.' Aku terus berbalah dengan tujuan melekakan mereka kerana aku berfikir bahawa bantuan dari Madinah akan sampai. Oleh itu sambil berbalah, mataku sentiasa mencuri-curi pandang dengan khuatir melalui celah-celah pokok sehingga akhirnya aku ternampak satu kumpulan yang diketuai Akram Asadi(r.a) tiba. Setibanya Akram lalu berhadapan dengan pengganas-pengganas itu beliau juga telah menyerang Abdur Rahman dan memotong satu daripada kaki kuda tunggangannya, menyebabkan Abdur Rahman jatuh ke bumi. Walaupun ia telah jatuh, Abdur Rahman telah menyerang Akram dan membunuh Akram. Setelah itu Abdul Qatadah segera meluru dan berjuang, akhirnya beliau berjaya menghapuskan ketua pengganas itu dan kuda beliau sendiri turut terkorban"
    
     Adalah dicatitkan dalam setengah buku sejarah bahawa apabila Akram hendak menyerang Abdur Rahman, Salmah telah menasihatinya supaya bersabar dahulu menanti semua orang untuk bergabung dan menyerang bersama-sama. Tetapi kata-kata dari Salmah tidak lagi dapat melunturkan azamnya yang sudah tekad.
    
     Akram berkata:
     "Aku tersangat ingin mati sebagai seorang syahid di jalan Allah s.w.t."

     Dalam pertempuran ini bagi pihak Islam hanya Akram(r.a) seorang sahaja yang gugur sedangkan sebilangan besar daripada pengganas-pengganas itu telah terbunuh. Kemudian apabila datang lagi bantuan kepada orang-orang Islam, pengganas-pengganas itu tidak dapat lagi meneruskan perjuangan mereka lalu melarikan diri. Salmah (r.a) memohon kebenaran Nabi(S.A.W) untuk mengejar dengan berkata:
     "wahai Pesuruh Allah! Berikanlah kepada aku seratus orang lelaki untuk mengejar pengganas-pengganas itu agar dapat aku mengejar mereka."
Sebagai menjawab Nabi S.A.W bersabda :
     "Tidak usah kerana mungkin mereka telah sampai kepangkalan mereka."

     Kebanyakan daripada ahli-ahli sejarah berkata bahawa ketika peristiwa ini, Salmah (r.a) hanya berusia 12 atau 13 tahun sahaja. Cubalah kita perhatikan betapa seorang budak yang sebegitu muda dapat mengejar pengganas-pengganas yang ramai berseorang diri sahaja. Beliau telah berjaya memperolehi kembali semua barang rampasan di samping itu sebahagian besar barang-barang pengganas itu diperolehinya juga. Segala kejayaan yang dicapai adalah berpunca dari keikhlasan dan keimanan yang tulen yang mana Allah telah menyelubungi di hati dan jiwa mereka-mereka yang diberkati itu.   

No comments:

Post a Comment